Begitu cepat masa berlalu. Bilakah tarikh Kursus Asas Haji (KAH) tahun 2026M/ 1447H diadakan di lokasi seluruh negeri di Malaysia? Berita baik buat bakal jemaah haji yang terpilih pada tahun semasa dan juga kepada umat Islam yang berminat untuk mempelajari hal ehwal ibadat haji dan umrah. Lembaga Tabung Haji Malaysia akan mengeluarkan Jadual Kursus Asas Haji 2026 Seluruh Negeri yang memaparkan maklumat seperti tarikh mula dan akhir kursus, tempat kursus (Masjid) serta masa.
Peserta yang berminat untuk mengikuti Kursus Asas Haji (KAH) 1447H perlu membuat pendaftaran di masjid-masjid yang terlibat dalam menganjurkan kursus ini. Kebanyakkan KAH diadakan dari bulan Oktober 2025 sehingga bulan Januari 2026.
- Cara semak pendaftaran dan tawaran Haji klik Daftar Dan Tawaran Haji Online
- Kos haji terkini untuk jemaah Haji Muassasah.
Maklumat kursus asas haji atau KAH akan keluar dalam aplikasi THiJARI. Boleh semak jadual (tarikh, masa dan tempat) berkenaan dengan login masuk https://www.thijari.com.my atau login masuk ke aplikasi THiJARI masing-masing.
Sesudah log masuk aplikasi THiJARI, ikuti langkah-langkah berikut :-
- Klik pada MENU (atas kiri) seterusnya
- Klik pautan Perkhidmatan Haji
- Klik pada Kursus Haji
- Pilih Jenis Kursus (KURSUS ASAS HAJI)
- Pilih Negeri
- Pilih Daerah dan akhirnya
- Klik Cari Kursus. Scroll ke bawah untuk senarai tarikh, lokasi, TH Cawangan dan TH Nombor Telefon.
Sesiapa sahaja boleh hadir samada terima SMS atau tidak. Bagi yang terutamanya telah menerima SMS untuk hadir kursus bolehlah mula memantau tahap kesihatan dan fizikal masing-masing dengan membuat latihan ringan seperti brisk walk atau berlari lari secara perlahan.
Sesiapa yang tidak pernah mengalami apa-apa masalah kesihatan, bolehlah membuat pemeriksaan kesihatan awal supaya tahu status semasa kesihatan sebelum membuat Pemeriksaan Kesihatan Wajib bagi Bakal Jemaah Haji yang terpilih. Sekurang-kurangnya buat ujian darah dan tekanan darah, samada di Klinik Kesihatan Kerajaan atau Swasta supaya ada rekod ujian kesihatan (darah dan tekanan darah) sebelum Pemeriksaan Kesihatan Wajib untuk Bakal Jemaah Haji dibuat. (Jangkaan pada pertengahan atau hujung Disember 2025).
Jika ada masalah kesihatan yang dikesan lebih awal, proses pemulihan atau kawalan masalah kesihatan dapat dilakukan dengan lebih awal supaya ada masa untuk boleh lulus ujian pemeriksaan kelak. Dan akhir sekali, jangan lupa kemaskini maklumat seperti yang disarankan oleh Tabung Haji.
Tarikh Dan Lokasi Kursus Asas Haji 2026/ 1447H
Berikut dikongsikan senarai lokasi nama masjid yang terlibat dalam penganjuran Kursus Asas Haji 2026/ 1447H setiap negeri dan maklumat tarikh mula dan akhir KAH diadakan.
Peserta yang berminat boleh merujuk kepada Jadual Kursus Asas Haji di masjid-masjid berhampiran anda seperti di bawah ini. Muat turun atau download jadual dalam PDF dengan mengklik link yang dikongsikan untuk setiap negeri.
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
- WP Putrajaya
- Wilayah Persekutuan Labuan
- Selangor
- Melaka
- Pulau Pinang
- Pahang
- Perak
- Kelantan
- Terengganu
- Sarawak
- Johor
- Perlis
- Kedah
- Sabah
- Negeri Sembilan
Klik JADUAL KAH SELURUH NEGERI (Tahun 2026, Jadual dalam PDF)
Kursus Asas Haji (KAH)
Kursus Asas Haji (KAH) merupakan kursus haji peringkat pertama yang akan diikuti oleh bakal-bakal jemaah haji. KAH diadakan pada setiap hujung minggu selama 2 jam 30 minit bagi setiap siri (diadakan sebanyak 13 siri) bermula dari bulan Rabi’ul Akhir sehingga Jamadil Akhir setiap tahun.
KAH diadakan di masjid-masjid pilihan di seluruh negara dengan kerjasama jawatankuasa masjid berkenaan (Jabatan Agama Islam Negeri). Modul kursus merangkumi pendedahan asas tajuk-tajuk berkaitan ibadat haji, kesihatan dan pengurusan haji di Tanah Air dan Tanah Suci.
Peserta kursus tidak dihadkan kepada bakal haji yang terpilih pada tahun semasa sahaja bahkan penyertaan dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk mempelajari hal ehwal ibadat haji dan umrah. Peserta perlu mendaftar di masjid-masjid yang terlibat menganjurkan kursus ini.
- Modul Kursus Asas Haji boleh dimuat turun di Lampiran.
Kursus Lain Buat Bakal Jemaah Haji
Selain Kursus Asas Haji, bakal jemah haji juga perlu menghadiri Kursus-kursus lain yang berkaitan seperti berikut :-
1. Kursus Intensif Haji (KIH)
Kursus Intensif Haji (KIH) merupakan kursus haji peringkat kedua yang akan diikuti oleh bakal jemaah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci. Kursus diadakan selama dua (2) hari ini diadakan dalam bulan Rejab dan Sya’aban pada setiap tahun. Semasa kursus, penekanan diberikan kepada aspek praktikal ibadat haji dan umrah serta ulang kaji ibadat.
Selain berkenaan ibadat haji, modul pembelajaran juga menekankan penjagaan kesihatan dan pengurusan haji di Tanah Air dan Tanah Suci. Hanya bakal jemaah haji yang terpilih pada tahun semasa akan dijemput menghadiri kursus ini oleh Pejabat TH Negeri atau Daerah.
2. Kursus Khas Haji (KKH)
Kursus Khas Haji (KKH) merupakan kursus haji lanjutan yang diadakan selepas KIH. Tempoh kursus mengambil masa selama satu (1) hari yang memberi penekanan terhadap aspek latih tubi praktikal ibadat dalam kelompok kecil dan lebih khusus.
Peserta kursus adalah terdiri daripada mereka yang mendapat markah yang rendah dalam ujian kefahaman ibadat KIH dan mereka yang terpilih di saat akhir. Pejabat TH Negeri atau Daerah akan mengeluarkan surat jemputan kepada bakal jemaah haji yang terlibat.
3. Kursus Perdana Haji (KPH)
Kursus Perdana Haji (KPH) merupakan kursus haji peringkat akhir yang akan diikuti oleh bakal jemaah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci. kursus selama dua (2) hari satu (1) malam ini diadakan dalam bulan Syawal di setiap negeri. Kursus ini akan mengumpulkan bakal jemaah haji dari seluruh daerah dalam negeri tersebut.
Penekanan yang diberikan semasa kursus ini lebih kepada praktikal ibadat haji dan dalam kelompok jemaah yang lebih ramai. Ia melibatkan aktiviti tawaf, sa’ie, bermabit dan melontar pada waktu malam. Hanya bakal jemaah haji yang terpilih pada tahun semasa dijemput menghadiri kursus ini oleh Pejabat TH Negeri atau Daerah.
SUMBER : Portal Tabung Haji
Cara Hubungi
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Jadual Kursus Asas Haji, sila hubungi THCC ditalian 03-6207 1919.
Semoga perkongsian Jadual Kursus Asas Haji 2026 Seluruh Negeri ini boleh dijadikan panduan buat bakal jemaah haji di Malaysia. Tahniah kepada mereka yang berjaya mendapat tawaran Haji tahun 2026/ 1447H. Semoga mendapat Haji yang Mabrur.