Dalam kehidupan era teknologi masa kini, kebanyakan di antara kita terdedah kepada budaya hedonisme. Budaya ini bermaksud satu pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Golongan remaja yang menikmati kehidupan yang lebih selesa dan mewah merupakan golongan yang paling terdedah kepada budaya ini. Sebagai rujukan berikut dikongsikan contoh karangan Kesan Budaya Hedonisme Kepada Remaja.
Kemajuan yang dikecapi oleh tamadun manusia pada hari ini adalah satu kebanggaan di mana kita banyak menyatukan teknologi dan sains dalam rutin kehidupan. Intervensi ini memberi ruang dan peluang yang besar kepada setiap individu untuk mengecapi kesenangan hidup. Maka, apabila tiada rintangan seperti peperangan atau kemiskinan, ahli masyarakat mudah untuk terjerumus dalam budaya hedonisme.
Contoh Karangan Kesan Budaya Hedonisme Kepada Remaja
Ikuti perkongsian berkaitan contoh karangan seperti di bawah. Anda boleh menjadikan contoh ini sebagai rujukan untuk menulis karangan yang berkaitan dan pastikan dihuraikan dengan tatabahasa yang lebih menarik dan tepat.
Pengenalan
Hedonisme merupakan budaya baru yang wujud kesan daripada proses globalisasi yang berlaku dengan pesat. Kemajuan teknologi terutamanya dalam bidang komunikasi membantu manusia berinteraksi antara satu sama lain tanpa batas tempat atau waktu. Globalisasi merupakan zaman di mana perkembangan teknologi bergerak sangat pantas dan pesat. Media sosial merupakan salah satu medium utama yang diakses oleh pelbagai peringkat umur. Tidak semua individu mampu mengadapasi dengan baik penggunaan teknologi ini. Teknologi telah menyebabkan berlakunya perubahan gaya hidup masyarakat.
Menurut Adler dlm. Alwisol (2011), gaya hidup merupakan kaedah unik setiap individu bagi mencapai tujuan khusus yang telah ditentukan oleh individu terbabit dalam kehidupannya. Setiap individu akan memilih gaya hidup berasaskan kehendak masing-masing. Menurut pandangan ahli falsafah, hedonisme terbahagi kepada dua iaitu hedonisme psikologi dan hedonisme etika. Menurut Parkinson et. al (1996), hedonisme psikologi merujuk kepada individu yang sentiasa mengambil tindakan yang difikirkan dapat memberi kenikmatan terbesar kepada mereka serta memilih sesuatu perkara yang difikirkan dapat memberikan lebih banyak kebahagiaan dan mengurangkan kesakitan kepada mereka manakala hedonisme etika iaitu manusia seharusnya melakukan sesuatu tindakan yang dapat menghasilkan kenikmatan dan kebahagiaan terbesar kepada mereka dan hidonisme ini dikenali sebagai hedonisme etika universal (Parkinson et. al.,1996).
Hedonisme merupakan antara kesan globalisasi yang berlaku pada hari ini. Menurut Kamus Malaysian, hedonisme merupakan suatu pola pemikiran yang menjelaskan bahawa memaksimumkan keseronokan adalah perkara terbaik dan amat disukai dalam menjalani kehidupan. Budaya hedonisme ini berpaksikan keinginan manusia untuk mendapatkan kemewahan yang melampau seperti berbelanja secara berlebihan diluar batasan kemampuan ekonomi masing-masing. Hedonisme turut dikaitkan dengan pengaruh penerimaan budayabudaya daripada luar contohnya barat dan Korea. Pengikut budaya-budaya baharu ini akan meniru simbol-simbol kebudayan luar seperti muzik, makanan, fesyen, produk kecantikan dan bahasa seharian.
Apakah Impak Negatif Budaya Hedonisme Kepada Remaja?
Contoh Budaya hedonisme, yang menekankan pencarian keseronokan dan kepuasan diri semata-mata, semakin menular dalam kalangan remaja masa kini. Fenomena ini menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh membawa pelbagai implikasi negatif terhadap perkembangan diri dan kesejahteraan sosial remaja. Malah dalam jangka masa panjang akan memberi impak terhadap perkembangan masyarakat negara yang mendambakan kemajuan di tahap yang tertinggi.
Sejak zaman kanak-kanak, remaja masa kini telah terdedah kepada pelbagai jenis hiburan berbentuk visual. Sama ada melalui kandungan di televisyen atau di Internet melalui telefon pintar. Cabaran ini amat besar untuk ibu dan bapa masa kini dalam memastikan keseimbangan dapat diberikan kepada anak-anak supaya mereka tidak terjerumus dalam budaya hedonisme. Justeru, mari kita bincangkan impak negatif budaya hedonisme kepada remaja sebagai iktibar dan pengajaran buat kita semua.
1. Pengabaian Tanggungjawab
Salah satu kesan utama budaya hedonisme ialah pengabaian tanggungjawab oleh remaja. Apabila keseronokan menjadi keutamaan, remaja cenderung mengabaikan tanggungjawab mereka seperti tugas sekolah, kerja rumah, dan komitmen lain. Mereka lebih gemar menghabiskan masa dengan aktiviti hiburan seperti melepak di pusat membeli-belah, menghadiri konsert, atau mengunjungi pusat hiburan malam.
Akibatnya, disiplin diri merosot dan mereka gagal memenuhi tanggungjawab asas, yang boleh menjejaskan masa depan mereka. Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa remaja yang terlibat dalam budaya hedonisme cenderung mengabaikan tanggungjawab akademik dan sosial mereka. Intihannya, setiap di antara kita bertanggungjawab untuk memastikan remaja tidak terlibat dalam budaya yang tidak sihat ini.
2. Peningkatan Masalah Sosial
Budaya hedonisme juga dikaitkan dengan peningkatan masalah sosial dalam kalangan remaja. Keinginan untuk mencari keseronokan tanpa batasan boleh mendorong mereka terlibat dalam aktiviti berisiko seperti penyalahgunaan dadah, alkohol, dan pergaulan bebas. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal dan mental remaja, tetapi juga meningkatkan kadar jenayah dan masalah sosial dalam masyarakat.
Tamsilnya, berita di dada-dada akhbar menunjukkan bahawa budaya hedonisme boleh membawa kepada peningkatan kes jenayah dalam kalangan remaja. Jaringan komunikasi tanpa batas pada masa ini perlu diberi perhatian oleh ibu dan bapa untuk memastikan anak-anak tidak melakukan sebarang jenayah. Akhirnya, ia terletak kepada tanggungjawab ibu dan bapa serta masyarakat sekeliling agar menghindari golongan remaja daripada budaya hedonisme ini.
3. Kemerosotan Prestasi Akademik
Fokus yang berlebihan terhadap hiburan dan keseronokan boleh menyebabkan kemerosotan prestasi akademik remaja. Mereka mungkin menghabiskan lebih banyak masa untuk aktiviti tidak berfaedah seperti bermain permainan video, menonton rancangan hiburan, atau menghadiri acara sosial, sehingga mengabaikan pelajaran dan tugasan sekolah.
Oleh sebab yang demikian, pencapaian akademik mereka merosot, yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran atau mendapatkan pekerjaan yang baik pada masa hadapan. Apabila seseorang itu terjerumus dalam budaya hedonisme, ia boleh menjejaskan usaha mereka untuk mencapai keseimbangan dalam aspek intelek, rohani, jasmani, dan emosi.
4. Keruntuhan Nilai Moral
Budaya hedonisme juga membawa kepada keruntuhan nilai moral dalam kalangan remaja. Apabila keseronokan dijadikan matlamat utama, nilai-nilai seperti hormat-menghormati, tanggungjawab, dan kejujuran sering diketepikan. Remaja mungkin terlibat dalam tingkah laku tidak bermoral seperti pergaulan bebas, berpakaian tidak sopan, dan penggunaan bahasa kasar.
Ini bukan sahaja menjejaskan reputasi diri dan keluarga, tetapi juga mencemarkan imej masyarakat dan negara. Malah, budaya hedonisme boleh menyebabkan nilai-nilai keagamaan dalam diri remaja semakin pudar. Maka, penting untuk kita mendidik nilai keagamaan dan moral dalam diri setiap individu agar mereka sedar akan kepenting untuk mempunyai adab dan etika dalam kehidupan.
5. Pengaruh Negatif Terhadap Kesihatan Mental
Keterlibatan dalam budaya hedonisme boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental remaja. Tekanan untuk sentiasa mencari keseronokan dan memenuhi kehendak diri boleh menyebabkan stres, kebimbangan, dan kemurungan. Selain itu, perasaan kosong dan tidak bermakna mungkin timbul apabila keseronokan sementara tidak lagi memberikan kepuasan.
Remaja yang bergantung kepada aktiviti hedonistik untuk mengatasi masalah atau melarikan diri dari realiti berisiko mengalami masalah kesihatan mental yang lebih serius. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa budaya hedonisme boleh menyebabkan remaja kehilangan arah dan tujuan hidup.
6. Cabaran dalam Hubungan Kekeluargaan
Budaya hedonisme juga boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan. Apabila remaja lebih mengutamakan keseronokan di luar rumah, mereka mungkin mengabaikan masa bersama keluarga dan enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh ibu bapa. Ini boleh menyebabkan konflik dan ketegangan dalam hubungan kekeluargaan.
Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak mereka mungkin menyumbang kepada kecenderungan remaja untuk mencari keseronokan di luar rumah. Sebagai contoh, kurangnya keprihatinan dalam institusi kekeluargaan boleh menyebabkan remaja mencari ketenangan di luar rumah dan terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, budaya hedonisme membawa pelbagai kesan negatif kepada remaja. Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak, termasuk remaja sendiri, ibu bapa, pendidik, dan masyarakat, untuk bekerjasama dalam membendung penularan budaya hedonisme. Langkah-langkah seperti memperkukuhkan pendidikan agama dan moral, mengawal pengaruh media massa, dan meningkatkan komunikasi dalam keluarga perlu diambil untuk memastikan remaja membesar dengan persekitaran yang sihat. Semoga usaha melahirkan masyarakat berminda kelas pertama berjaya direalisasikan demi mencapai wawasan negara pada masa hadapan.
Rel : faktor faktor, menyebabkan generasi muda, pengamalan budaya, lupa akan matlamat hidup, untuk mendapatkan wang, pengaruh budaya hedonisme,