Langkah Menarik Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian

Usaha Menarik Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian, contoh karangan langkah menggalakkan generasi muda berbakti kepada sektor agrikultur.

Sebagai pelajar, kita perlu sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam apa sahaja yang ditugaskan. Begitu juga dalam persiapan untuk menghadapi pentaksiran atau peperiksaan umum seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ulangkaji dan pembacaan contoh-contoh soalan beserta jawapan adalah antara kaedah persediaan yang boleh diusahakan. Berikut dikongsikan contoh karangan Usaha Menarik Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian untuk rujukan.

Stigma terhadap pertanian merupakan satu bidang yang ketinggalan zaman perlu dihentikan. Hari ini, kita boleh lihat penggunaan dron dalam menyemai baja dan meracun serta automasi pengairan di ladang pertanian. Pelajar yang berminda global pada ketika ini juga mahu melihat segala kemajuan bidang pertanain di luar negara diimplimentasikan di negara kita sendiri. Selaras dengan objektif tersebut, persoalan berkaitan tajuk di bawah sesuai untuk membuka minda dan menambah pengetahuan pelajar.

Contoh Karangan Usaha Menarik Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian

Ikuti perkongsian contoh karangan Langkah Menarik Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian seperti berikut. Penulisan karangan Bahasa Melayu yang lengkap di bawah disertakan dua isi penting tambahan yang boleh dijadikan sebagai panduan untuk semua.

Mengapa Penting Menarik Golongan Muda ke Dalam Sektor Pertanian?

Bidang pertanian adalah salah satu sektor yang penting dalam pembangunan ekonomi negara kita. Namun, realitinya pada hari ini, semakin ramai golongan muda kurang berminat untuk menceburi bidang yang memerlukan seseorang untuk membanting tulang. Sering kali kita mendengar bahawa bidang pertanian hanya dilihat sebagai pekerjaan untuk golongan tua atau pekerjaan yang tidak menjamin masa depan.

Hal ini sebenarnya merupakan persepsi yang salah kerana sektor pertanian kini semakin berkembang pesat dengan adanya teknologi moden dan pelbagai inovasi baharu. Bagi memastikan sektor ini terus berkembang dan tidak ketinggalan, usaha untuk menarik minat golongan muda amatlah diperlukan. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian ini.

1. Mempromosikan bidang pertanian sebagai satu perniagaan

Langkah pertama yang boleh diambil adalah mempromosikan bidang pertanian sebagai satu perniagaan yang berpotensi tinggi. Ramai anak muda beranggapan bahawa pertanian hanyalah pekerjaan fizikal tanpa peluang yang besar untuk maju. Namun, hakikatnya, pertanian sebenarnya boleh menjadi perniagaan yang menguntungkan jika diurus dengan bijak dan menggunakan teknologi moden.

Oleh itu, pihak berwajib seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan boleh mengadakan kempen atau seminar untuk memberi pendedahan kepada golongan muda tentang potensi perniagaan dalam bidang pertanian. Sebagai contoh, mereka boleh mengadakan ceramah oleh usahawan pertanian yang berjaya untuk berkongsi pengalaman dan memberi inspirasi kepada golongan muda. Intihannya, anak muda akan lebih tertarik untuk menceburi bidang ini apabila melihat bahawa pertanian boleh memberikan pulangan yang lumayan.

2. Memperkasa pembangunan infrastruktur pertanian

Pada masa yang sama, pembangunan infrastruktur pertanian perlu diperkasakan untuk memudahkan golongan muda menceburi bidang ini. Kemudahan seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, dan teknologi moden sangat penting untuk memastikan proses pertanian berjalan lancar. Contohnya, penggunaan teknologi seperti sistem pengairan automatik atau penggunaan dron untuk menyiram tanaman dapat meningkatkan hasil pertanian dengan lebih efisien.

Dengan adanya infrastruktur yang lengkap, golongan muda akan lebih bersemangat untuk terlibat dalam bidang pertanian kerana proses kerja akan menjadi lebih efisien. Kesan daripada pembangunan infrastruktur ini bukan sahaja akan menguntungkan bidnag pertanian tetapi juga bidang-bidang lain yang berada di kawasan luar bandar. Justeru, pihak kerajaan perlu melabur dalam pembangunan infrastruktur pertanian untuk menarik minat generasi muda.

3. Memberi sokongan kewangan atau insentif

Seterusnya, memberi sokongan kewangan atau insentif kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang pertanian juga merupakan langkah penting. Bagi golongan muda yang baru mula bekerja, modal permulaan untuk membuka ladang atau memulakan perniagaan dalam bidang pertanian mungkin merupakan halangan terbesar. Oleh itu, pihak kerajaan boleh memperkenalkan skim pinjaman pertanian khas untuk golongan muda dengan faedah yang rendah.

Pemberian insentif seperti bantuan subsidi bagi pembelian peralatan pertanian juga boleh dilaksanakan bersama agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Melalui sokongan kewangan ini, golongan muda akan lebih yakin dan berani untuk mencuba bidang pertanian tanpa terlalu risau tentang modal permulaan. Ini dapat meringankan beban mereka dan memberi motivasi untuk berjaya dalam bidang ini.

4. Pembelajaran secara “peer-to-peer”

Di samping itu, pembelajaran secara rakan-ke-rakan atau “peer-to-peer learning” juga boleh membantu dalam menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian. Usahawan tani yang berpengalaman boleh berkongsi ilmu dan kemahiran dengan rakan-rakan sebaya mereka yang baru ingin menceburi bidang ini. Pembelajaran secara praktikal ini dapat memudahkan lagi proses pemahaman dan perkongsian ilmu.

Kaedah ini lebih mudah difahami kerana pendekatan yang digunakan lebih santai dan tidak formal. Malah, anak muda lebih cenderung mendengar nasihat daripada rakan sebaya berbanding golongan yang lebih tua. Oleh itu, program mentor mentee antara usahawan muda dalam bidang pertanian boleh diwujudkan agar mereka dapat saling belajar dan menyokong antara satu sama lain.

5. Melabur dalam pembangunan belia

Tambahan pula, pelaburan dalam pembangunan belia dalam bidang pertanian juga penting bagi memastikan minat mereka berkekalan dalam sektor ini. Kerajaan boleh menawarkan program latihan khusus dalam bidang pertanian yang berfokus kepada golongan muda seperti kursus berkaitan teknologi pertanian, pemasaran hasil pertanian, dan inovasi baharu dalam pertanian.

Selain itu, penyertaan dalam pertandingan atau anugerah yang menghargai inovasi dalam pertanian juga dapat memberi galakan kepada anak muda untuk lebih kreatif dalam mengaplikasikan teknologi dalam pertanian. Melalui program seperti ini, anak muda akan lebih berminat untuk terus meneroka bidang pertanian dan menggunakan ilmu yang mereka peroleh untuk memajukan perniagaan mereka.

6. Memudahkan akses kepada penyewaan atau pembelian tanah

Akhir sekali, memudahkan akses kepada penyewaan atau pembelian tanah juga dapat menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian. Ramai golongan muda berdepan dengan masalah untuk memiliki atau menyewa tanah kerana kos yang tinggi dan kekurangan tanah pertanian yang sesuai. Oleh itu, pihak kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menyediakan tanah dengan kadar sewa yang rendah atau memberikan pinjaman pembelian tanah khusus untuk golongan muda yang berminat dalam bidang pertanian.

Dengan kemudahan ini, golongan muda akan mempunyai tempat untuk memulakan pertanian mereka tanpa perlu memikirkan kos yang terlalu tinggi. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kenaikan kkos sara hidup yang tinggi. Ini adalah satu langkah praktikal yang boleh membuka peluang kepada anak muda untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian dan menyumbang kepada kemajuan sektor ini.

Kesimpulan

Konklusi daripada perbincangan di atas, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian. Apabila golongan muda berminat untuk menceburi bidang pertanian, negara kita dapat memastikan sektor ini terus berkembang dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Peribahasa Melayu ada berkata, belakang parang kalau diasah juga akan menjadi tajam. Iltizam yang kuat akan membantu segala rencana untuk memupuk generasi baharu menceburi bidang yang amat penting bagi sesebuah negara ini. Semoga dengan adanya inisiatif yang berterusan, kita dapat melihat lebih ramai golongan muda yang terlibat dalam bidang pertanian. Kemudian menyumbang kepada usaha membangunkan ekonomi sejagat demi kesejahteraan negara.

Kongsi Info Di: